Episotomi dan caesarean merupakan 2 jenis luka bersalin yang biasa didengar. Untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang penjagaannya, Dr. Khairiah bt Seman, Pakar Perunding O&G dari Pusat Bersalin Barakah, Bandar Puteri Klang ada maklumat lanjut.
Menurut beliau, secara umumnya, episotomi adalah luka yang dikaitkan
dengan bersalin secara normal. Walaupun begitu, tidak semua kelahiran
normal akan dilakukan episotomi. Episotomi berbeza dengan luka biasa.
Episotomi adalah luka akibat digunting oleh doktor. Manakala luka biasa
adalah yang berlaku secara semula jadi semasa proses kelahiran. “Dahulu,
hampir kebanyakan wanita yang bersalin anak sulung secara normal akan
dilakukan episotomi. Kini tidak lagi kerana kesakitan yang dialami oleh
mereka lebih daripada luka sendiri,” tegas Dr. Khairiah. Tambahnya,
banyak kajian yang telah dilakukan menunjukkan bahawa episotomi
menyebabkan risiko luka menjadi lebih besar. Hal ini berbeza dengan luka
yang terjadi dengan sendirinya. Sakitnya hanya sedikit kerana tidak
melibatkan otot yang banyak.
Luka caesarean pula adalah luka akibat pembedahan dan terdapat dua
jenis iaitu jenis menegak dan melintang. Biasanya seboleh-boleh doktor
akan memilih cara melintang kerana lebih cepat sembuh dan kurang sakit.
Dr. Khairiah memberitahu bahawa biasanya luka bagi episotomi akan
sembuh dalam tempoh 10 hingga 14 hari. Manakala bagi luka pembedahan,
tempoh tersebut cukup untuk kulit bercantum kembali. Walau bagaimanapun,
tempoh penyembuhan ini boleh diguna pakai selagi tidak ada sebarang
jangkitan kuman pada bahagian pembedahan. Umumnya, semua jenis luka
boleh sembuh sepenuhnya dalam masa 42 hari iaitu 6 minggu.
Bagi menjahit luka pula, ada beberapa jenis benang digunakan. Untuk
episotomi benang yang digunakan adalah daripada jenis yang akan menyerap
sendiri. Tidak perlu dibuka. Antara jenis benangnya yang digunakan
ialah cat gut dan vicryl. Menurut beliau lagi, setiap
jenis benang ada tahap kelembutan dan kekuatannya sendiri. Makin mahal
benang tersebut bermakna benangnya lebih lembut dan tahan. Kesakitan
pada tempat jahitan pun kurang.
“Seperti yang diketahui ramai, luka episotomi lebih cepat sembuh
berbanding luka pembedahan kerana lukanya hanya sedikit. Manakala luka
pembedahan melibatkan banyak lapisan. Lapisan dalam rahim itu sendiri,
lapisan pada selaput kemudian baru kulit. Hal ini menyebabkan tempoh
penyembuhan sepenuhnya luka tersebut adalah 6 minggu. Untuk episotomi
biasanya masa 2 minggu sudah mencukupi untuk pulih seperti sedia kala,”
terang Dr. Khairiah.
Luka sembuh
Tentang bagaimana untuk memastikan luka tersebut cepat sembuh pula,
beliau menekan tentang pentingnya memastikan kawasan luka sentiasa
kering. “Bagi luka episotomi, pastikan luka dilapkan kering-kering
selepas ke tandas dan sapukan ubat luka yang diberi oleh doktor. Begitu
juga dengan luka caesarean. Selepas mandi, pastikan luka tersebut
dilapkan kering-kering. Kalau ingin gunakan barut, letakkan lapisan
kapas atau tisu yang tidak melekat supaya boleh menyerap peluh agar
kawasan luka sentiasa kering. Hal ini sangat penting kerana jika lembap,
jangkitan mudah berlaku.”
Dalam pada itu, Dr. Khairiah mengakui ada sesetengah orang gemar
menggunakan ubat-ubatan tradisional seperti minyak atau herba untuk
menyembuhkan luka. Dari segi klinikal, hal ini tidak digalakkan kerana
dikhuatiri minyak tersebut akan mengganggu percantuman semula kulit.
Doktor lazimnya akan menasihatkan agar mereka tidak meletakkan sebarang
ubat-ubatan tradisional dalam tempoh 10 hari pertama selepas luka
dijahit. Setelah yakin luka sudah bercantum, barulah doktor memberikan
kebebasan untuk membuat apa yang diingini pada luka tersebut.
Apabila bercerita tentang luka, kita tidak akan terlepas daripada
bercerita tentang parut. Untuk mengurangkan parut atau juga dikenali
sebagai ‘keloid’ terutama pada luka caesarean, eloklah disapu dengan
vitamin E. Dr. Khairiah memberitahu bahawa ‘keloid’ wujud akibat reaksi
tubuh terhadap luka. Hal ini berbeza antara seorang individu dengan
individu yang lain. Walau bagaimanapun, sebelum vitamin E disapu,
pastikan luka tersebut sudah kering.
Ketika ditanya tentang jahitan yang terbuka, beliau mengakui kes ini
adalah biasa. Jahitan terbuka disebabkan oleh beberapa perkara. Antara
penyebabnya ialah benang yang digunakan kerana ada benang yang cepat
menyerap iaitu sebelum kulit bercantum kembali. Selain itu, bergantung
juga pada jenis tisu pada kawasan luka tersebut. Ada orang yang tisunya
terlalu nipis dan mudah terkoyak. Mereka-mereka ini memang berisiko
untuk luka terbuka kembali selepas dijahit. Satu lagi perkara yang turut
menyebabkan jahitan terbuka ialah cara jahitan. Sekiranya jahitan
terlalu ketat, masalah boleh timbul.
Sekiranya seseorang wanita itu mendapati jahitannya terbuka, beliau
menasihatkannya agar bertemu doktor untuk pemeriksaan lanjut. Doktor
akan memeriksa untuk memastikan adakah perlu dijahit semula ataupun
tidak. Sekiranya bahagian yang terbuka tidak terlalu besar, doktor akan
biarkan sembuh dengan sendiri. Akan tetapi, sekiranya yang jahitan yang
terbuka itu besar, doktor akan menjahit semula. Memang kalau dibiarkan
memang akan sembuh tetapi tidak cantik dan otot tidak akan bercantum
balik dan tidak kuat. Akan timbul masalah lain di kemudian hari.
Mengenai wanita yang menghidap diabetes, Dr. Khairiah mengakui luka
mereka mengambil masa untuk sembuh. Oleh yang demikian, mereka perlu
pastikan tahap kencing manis dikawal. Kandungan gula dalam darah penting
agar proses penyembuhan cepat.
“Sekiranya inginkan luka cepat sembuh, pengambilan makanan seimbang
penting. Pastikan tubuh cukup vitamin terutama vitamin C kerana dapat
mempercepatkan proses penyembuhan. Selepas bersalin digalakkan mengambil
multivitamin. Makan sayur dan buah-buah banyak kerana kandungan
seratnya boleh mengurangkan sembelit. Akan tetapi sekiranya sudah lebih
14 hari namun luka masih tidak sembuh, jumpalah doktor segera kerana
takut ada jangkitan,”tambah beliau.
Turut ditekankan di sini ialah tentang pengambilan ubat-ubatan
tradisional yang dimakan. Wanita selepas bersalin perlu berhati-hati
terutamanya dari segi kebersihan ubatan yang diambil itu. Dikhuatiri
kandungannya akan membahayakan kesihatan. Sebelum mengakhiri pertemuan
kami, Dr. Khairiah menasihatkan agar ibu-ibu hamil mengambil makanan
yang berzat dan pastikan kandungan hemoglobin mencukupi agar dapat
mempercepatkan proses penyembuhan luka selepas bersalin kelak. Menurut
beliau, dari segi perubatan, tidak ada pantang larang terhadap
pengambilan makanan-makanan tertentu kerana semua makanan kaya dengan
zat yang diperlukan tubuh. Cuma sekiranya anda alah kepada sesetengah
jenis makanan, eloklah dielakkan.
Tahukah anda:



Tiada ulasan:
Catat Ulasan